Tuesday, January 22, 2008

Bagaimana menentukan corak pemakanan anak anda?

Siapakah yang sebenarnya menentukan corak pemakanan anak-anak - media, pengusaha makanan atau ibu bapa sendiri? Itulah persoalan besar yang perlu direnung semula oleh ibu bapa hari ini.

Jika mengimbas zaman kanak-kanak kita dahulu, apa yang dihidangkan oleh ibu bapa, itulah yang kita makan.

Kini, senario itu sudah jauh berbeza kerana anak-anak hari ini lebih cenderung memilih makanan segera, berbanding makanan berkhasiat yang sepatutnya diambil sesuai perkembangan usia mereka.

Membincangkan senario ini, Pengurus Kanan Dietetik dan Perkhidmatan Makanan Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John, mengakui ini antara cabaran besar kepada ibu bapa moden hari ini.

Menurutnya, mereka semakin sibuk sehingga gagal memberi tumpuan kepada tanggungjawab menyediakan makanan berkhasiat dan seimbang kepada anak-anak.

Sedangkan itu merupakan tanggungjawab mereka bagi memastikan generasi pelapis membesar sihat dan pintar.

Katanya, ibu bapa perlu lebih tegas dalam mengawal tabiat pemakanan anak masing-masing yang gemarkan makanan ringan sekiranya tidak mahu anak mereka menderita akibat masalah obesiti peringkat kanak-kanak.

Sebagai ibu bapa, mereka perlu menetapkan garis panduan kepada anak-anak, makanan yang boleh diambil dengan kerap dan makanan yang perlu diambil sekali-sekala sahaja.

‘‘Jika sayangkan anak, kita harus meletakkan aspek disiplin sebagai perkara penting. Sebaiknya sentiasa jadikan diri sebagai contoh,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Mary berkata, kunci pemakanan baik sebenarnya bermula daripada perancangan teratur ketika membeli makanan untuk keluarga.

Oleh kerana itu, ibu bapa digalakkan agar membawa bersama anak mereka ke pasar atau pasar raya bagi mendidik mereka bagaimana memilih makanan yang berkhasiat.

Dalam usaha mendisiplinkan anak-anak juga, Mary berkata, ibu bapa juga perlu mempelbagaikan jenis masakan supaya anak-anak boleh membuat pilihan sekali gus membuka selera untuk mencuba.

Tambahnya, sentiasa jadikan hidangan yang disediakan itu menarik dengan mempelbagai jenis pilihan hidangan dan cara masakan.

Beliau berkata, antara cabaran besar lain yang terpaksa dihadapi ibu bapa ialah memastikan pilihan makanan anak-anak di kantin sekolah juga benar-benar berkhasiat.

Sayangnya, tidak semua kantin sekolah mematuhi sepenuhnya piawaian ditetapkan dalam menyediakan menu berkhasiat dan seimbang sesuai dengan perkembangan usia anak-anak.

Apa yang berlaku hampir 70 peratus makanan yang disediakan mengandungi minyak, garam dan gula yang tinggi.

Beliau tidak menafikan penyediaan makanan yang tidak bersih selain pilihan makanan yang tidak sesuai, menjadi penyebab utama kepada kejadian keracunan makanan di kalangan kanak-kanak sekolah.

Ini kerana katanya, berbanding orang dewasa, perut kanak-kanak lebih kecil dan sensitif.

Oleh itu, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak membawa bekal ke sekolah sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sepanjang lima hari persekolahan.

Pastikan mereka mencuci tangan sebelum dan selepas makan, selepas menggunakan tandas dan selepas pendidikan jasmani.

Dalam pada itu kata Mary, sikap ibu bapa yang ‘tidak kisah’ atau ‘terlalu memanjakan anak’ menyebabkan usaha mendisiplinkan anak-anak dengan corak pemakanan yang baik tidak berhasil.

Kebiasaannya apabila ke pasar raya, kanak-kanak lebih mudah tertarik untuk membeli makanan ringan atau segera yang dibungkus dengan cantik dan menarik.

Seringkali pada awalnya ibu bapa mahu bersikap tegas tidak mahu memberi mereka makanan seumpama itu, tetapi terpaksa mengalah apabila kanak-kanak ini mula menangis.

Keadaan ini sudah pasti berlarutan dan anak-anak ini akan menggunakan taktik sama setiap kali mereka ke pasar raya bagi mendapatkan makanan yang disukai.

‘‘Sikap kurang tegas dan perasaan kasihan ini bukan sahaja gambaran kepada kegagalan ibu bapa mendisiplinkan anak-anak ini, lebih daripada itu ia mengundang kesan sampingan yang bakal dihadapi terhadap anak mereka,’’ ujarnya.

Beliau menyarankan ibu bapa menggunakan pendekatan secara nasihat kepada si anak jika mereka meminta membeli makanan ringan atau segera.

‘‘Jangan gunakan perkataan ‘tidak boleh’ dan jangan marah mereka. Ini kerana perkataan tersebut lebih menimbulkan keinginan anak-anak ini untuk mencari jalan dengan apa cara sekalipun untuk mendapatkan apa yang diingini,’’ tegasnya.

Adalah lebih baik menerangkan kepada mereka, makanan seumpamanya boleh dimakan, tetapi tidak boleh makan selalu. Ini kerana makanan segera bukan sahaja mengandungi lemak, tetapi kandungan garam yang tinggi.

Begitu juga kata Mary, anak-anak boleh diberi pilihan sebagai contoh memberi mereka jus buah-buahan yang mempunyai kandungan vitamin C berbanding minuman bergas yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Di samping itu juga katanya, jika mahu membawa ahli keluarga makan di luar, ibu bapa sendiri yang perlu membuat pilihan jenis menu apa yang sesuai untuk keluarga.

Ibu bapa juga harus bersikap bertolak ansur dan jangan memaksa anak mereka makan makanan yang tidak disukai yang boleh menyebabkan kanak-kanak ini fobia, tetapi juga menjadikan mereka cerewet.

Panduan amalan pemakanan terbaik:

* Jangan paksa anak anda makan.

* Pastikan makanan yang anda beri itu selamat.

* Jadikan waktu makan sesuatu yang menyeronokkan.

* Sentiasa perkenalkan makanan yang pelbagai kepada anak-anak anda.

* Peruntukan masa makan 20 minit hingga 30 minit.

No comments: